Latar Belakang
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua program matrikulasi / asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Pada sesi 1999 / 2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998. Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Asasi Sains UM dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Permohonan Melalui internet (PMI) telah diperkenalkan mulai tahun 2003 bagi pengambilan sesi 2004 / 2005 kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai projek perintis. Mulai sesi 2011/2012, 100% permohonan menggunakan PMI.
Konsep Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan program persediaan bagi pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas di universiti awam. Kurikulum program ini memberi penekanan yang seimbang terhadap aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah. Penekanan sedemikian bertujuan menyediakan pelajar yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan serta mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji khususnya daya kepemimpinan yang tinggi. Semua pelajar program ini akan mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi, oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.
Program Matrikulasi ini dijalankan di 15 buah kolej Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan 2 buah kolej MARA yang ditetapkan.
- Jurusan & Aliran
- Jurusan Sains
- Jurusan Perakaunan
- Aliran Kejuruteraan (Awam/Elektrik & Elektronik/Mekanikal)
Tempoh Pengajian
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengambil masa dua (2) semester bagi Program Matrikulasi Satu Tahun (PST) manakala empat (4) semester bagi Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT).
Peluang Melanjutkan Pengajian
Pelajar yang lulus program ini dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh IPTA akan berpeluang mengikuti program ijazah pertama di semua universiti awam. Bagi pelajar yang mengikuti Program Matrikulasi boleh memohon mengikuti program pengajian di universiti awam dalam bidang seperti berikut :